Wednesday, April 29, 2009

10 Cara Membina Motivasi Diri


www.iluvislam.com




Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang dan lepaskan sekali gus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, "Hai, engkau dijadikan bukan untuk berkeluh-kesah.” Kemudian bangkitlah dan cuba lakukan perkara-perkara berikut:

1. Perbaiki imej anda Cuba lakukan sedikit perubahan
Kalau selama ini anda tidak kisah kalau seluar yang dipakai sehingga seminggu dan tidak bergosok, cuba kali ini menukarnya selalu dan pelbagaikan warnanya. Jika anda wanita, tukar imej kusam kepada kemas. Elegan dan aktif. Perkemaskan juga wajah anda denga sedikit solekan ringan. Kenakan warna-warna ceria pada tubuh anda; pada baju dan tudung. Hiasi jari dengan sebentuk cincin untuk menambah seri. Jangan terlalu pendiam, tetapi jangan pula terlalu bising. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika orang meminta pendapat.

2. Lakukan senaman ringan

3. Senyum Senyum boleh mengubah segala-galanya.
Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda akan mendapat senyumannya balik.



4. Berfikiran positif
Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus alpha iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan. Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan insyaAllah rezeki pun akan meluas. Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH.

5. Dapatkan tidur yang mencukupi
Rungsing dan marah-marah kadangkala disebabkan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi. Tidur yang tidak mencukupi akan mencetuskan arus theta atau arus delta, dua arus kemunduran.

6. Luahkan pada seseorang
Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda berasa tidak stabil seperti ini, bahkan dalam suasana yang biasa pun anda memerlukan seorang sahabat.

7. Curahkan di atas kertas
Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudian bakar dan hanyutkan ke sungai. Terasa lega.

8. Bersedia untuk berubah
Jangan teragak-agak untuk melakukan perubahan. Jika orang lain boleh, mengapa anda tidak? Apa istimewanya orang lain, sedang anda juga makhluk ALLAH yang dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan tertentu.

9. Cari kegemaran baru
Sesetengah daripada kesukaan kita akan sampai kepada penghujungnya. Hobi juga begitu. Maka apabila anda mula merasakan hidup ini mulai kosong carilah kegemaran-kegemaran baru. Tidak salah bermain game misalnya, untuk melihat adakah minat anda boleh tumbuh di sini.

10. Bertegaslah
Bertegaslah dengan diri anda sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya.



Sumber: motivasi minda; membina jati diri gemilang (Dr.HM Tuah)

Thursday, April 9, 2009

perpecahan?...elakkan

Pas adalah Islam dan begitu juga dengan UMNO. Dalam situasi sekarang, kedua-dua parti ini sedang menghadapi masalah yang sama iaitu perpecahan orang Melayu akibat pentafsiran-pentafsiran yang berbeza tentang agama Islam itu sendiri.

Justeru, cadangan Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan agar Pas dan UMNO bersatu harus dilihat secara positif oleh kedua-dua parti yang mewakili umat Islam di Malaysia. Juga atas dasar ukhuwah Islamiah gesaan serta usaha murni ini sewajarnya disambut dengan hati yang terbuka oleh ahli kedua-dua parti Melayu-Islam yang terbesar di negara ini.

Menyatukan ummah dan mengelak perpecahan merupakan tugas-tugas kemasyarakatan (muamalat) yang mempunyai kedudukan yang penting, sehingga dihargai lebih tinggi daripada ibadah-ibadah ritual. Faktor penunjang lahirnya persaudaraan dalam erti luas ataupun sempit adalah persamaan. Semakin banyak persamaan maka akan kian kukuh persaudaraan.

Persamaan rasa dan cita merupakan faktor dominan yang mendahului lahirnya persaudaraan hakiki, dan pada akhirnya menjadikan seseorang prihatin derita saudaranya, dengan menghulurkan tangan sebelum diminta, serta memperlakukan saudaranya bukan atas dasar 'menerima dan memberi'. Islam menekankan hal-hal tersebut, dan menganjurkan dicari titik temu persaudaraan. Bukan sahaja terhadap sesama Muslim, tetapi terhadap bukan Islam juga.

Persaudaraan Islam merupakan idea sosial yang teragung. Sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh merosakkan nilai ini dianggap merosakkan agama. Umat Islam seperti satu jasad atau satu bangunan. Saling memelihara dan mengukuhkan antara satu sama lain.

Ukhuwah biasa diertikan sebagai 'persaudaraan', diambil daripada akar kata yang pada mulanya bererti 'memerhatikan'. Makna asal ini memberi kesan bahawa persaudaraan mengharuskan adanya perhatian semua pihak yang merasa mereka bersaudara. Maknanya, setiap orang Islam hendaklah menanamkan perasaan dalam diri masing-masing bahawa mereka adalah bersaudara.

Al-Quran ada menyebut bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara dan yang menjadikan mereka bersaudara ialah akidah keimanan. Keutuhan mereka tidak akan terpecah melainkan jika mereka murtad daripada Islam. Ukhuwah Islamiah merupakan satu istilah yang sudah diterima di kalangan masyarakat iaitu suatu persaudaraan yang berdasarkan iman.

Jadi istilah yang lebih tepat sebenarnya adalah ukhuwah imaniyah kerana di dalam al-Quran, persaudaraan ini memang dikaitkan langsung dengan iman. Renungi maksud firman Allah SWT yang bermaksud:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu; dan bertawakallah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Hujuraat: 10)

Maksud firman Allah ini dimulai dengan semacam satu ketetapan bahawa umat Islam pasti akan berpecah-belah. Dalam situasi berpecah-belah itu, masing-masing akan berusaha untuk menghancurkan atau mengalahkan satu sama lain.

Sejarah telah mencatat bahawa peristiwa kewafatan Rasulullah SAW hampir mencetuskan pergaduhan sesama Muslim sehingga Umar mengambil inisiatif dengan tegas meminta semuanya bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah SAW.

Demikianlah seterusnya suasana tidak aman dan konflik timbul di kalangan umat Islam pada zaman pemerintahan Uthman dan Ali. Kalau kembali pada Surah al-Hujuraat ayat 9, ajaran tentang ukuran yang seharusnya dilakukan untuk menyelesaikan konflik, di mana Allah berfirman yang bermaksud:

Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.





Seterusnya sangat relevan jika kita renungi firman Allah dalam Surah al-Hujuraat ayat 11 yang memberi petunjuk atau teknik yang sangat praktikal bagaimana untuk memelihara ukhuwah dalam konteks kehidupan umat Islam sekarang.

Memang sebahagian daripada prasangka itu dianggap sebagai satu sikap waspada. Mungkin pada tempat-tempat atau saat-saat tertentu di mana kita harus berprasangka kepada orang kerana situasi sekarang berkehendakkan begitu sebagai satu 'kewaspadaan'. Itu tidak berdosa. Tetapi kalau terlalu berprasangka seperti dinyatakan al-Quran, maka besar kemungkinan kita jatuh kepada dosa prasangka.

Demikian al-Quran memberikan dasar ajaran bagi mengubah dan menegakkan ukhuwah lslamiah sebagaimana terkandung dalam ayat suci al-Quran Surah al-Hujuraat ayat 9 hingga 13 yang memuatkan banyak falsafah ukhuwah lslamiah. Inti ajarannya ialah mencari jalan damai ketika berselisih, tidak melampaui batas dalam perselisihan, bersikap jujur, saling menghargai dan bersikap rendah hati untuk mengakui kesalahan sendiri.

Dalam usaha memantapkan ukhuwah lslamiah ini, ia bukan sekadar penjelasan dari segi persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan melainkan yang Iebih penting lagi adalah Iangkah-Iangkah bersama umat Islam sehingga dapat merasakan nikmatnya persaudaraan satu iman itu.

Salah satu hadis yang popular dalam bidang ukhuwah adalah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari sahabat Ibnu Umar:

"Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain. Ia tidak menganiayanya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuhnya). Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi pula keperluannya. Siapa yang melapangkan suatu kesulitan seorang Muslim, Allah akan melapangkan baginya satu kesulitan pula dari kesulitan-kesulitan yang dihadapi di hari kemudian."

Persaudaraan dalam Islam berlandaskan iman kepada Allah, cinta kerana Allah. Seseorang mukmin yang merupakan saudara bagi mukmin yang lain mempunyai pertalian persaudaraan yang lebih kuat daripada pertalian darah di kalangan adik-beradik kandung. Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.

Untuk memantapkan ukhuwah Islamiah yang diperlukan bukan sekadar penjelasan aspek-aspek persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan. Malah yang lebih penting adalah langkah-langkah bersama yang dilaksanakan oleh umat sehingga seluruh umat merasakan nikmatnya.

Justeru kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan. Hanya tali Allah sahaja yang dapat memberi pegangan kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara.

Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan kerana Allah iaitu persaudaraan yang membuang segala dendam kesumat, sikap penting diri serta kelompoknya. Janganlah langgar perintah Allah ini sekiranya kita benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara serta tidak ingin melihat kehancuran ummah di tangan kita sendiri. Jadikanlah Al-Quran sebagai pedoman hidup umat islam.

www.iluvislam.com

Thursday, March 26, 2009

ciri-ciri pasangan anda..

Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberikan kepada seseorang yang boleh bergelar suami, pilihlah seorang lelaki yang;

1.Kuat Pengamalan Agamanya

Ukuran boleh dibuat apakah dia menjaga sembahyang fardhunya biar sesibuk mana, kerap berjemaah dan sembahyang pada awal waktu.

Ukur juga, apakah dia menjaga auratnya dengan memakai pakaian yang sopan terutama sewaktu bersukan.

Mengutamakan pemuda yang kuat pengamalan agamanya ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. kerana baginda menerima pinangan Sayidina Ali, seorang pemuda paling miskin tetapi paling bertakwa untuk menjadi suami anaknya, Siti Fatimah.

2. Baik Akhlaknya

Ketegasannya nyata tetapi sebenarnya dia seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Dia bertutur dengan sopan kerana melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuanmu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya,nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu kamu tidak lakukan maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang amat luas."


3. Tegas Mempertahankan Maruah
Ukur, apakah dia pernah pergi ke tempat-tempat yang bleh menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya seperti ke tempat-tempat hiburan yang penuh dengan maksiat.

4. Amanah
Selidiki, apakah dia seorang yang tidak pernah mengabaikan tugas yang diberikan kepadanya atau apakah dia pernah menyalahgunakan kedudukannya.

5. Tidak Boros

Dia bukanlah kedekut tetapi seorang yang tahu membelanjakan wangnya dengan bijaksana. Nikmat yang ada padanya seperti makanan boleh dikongsi sama dengan orang-orang lain yang berhak.

6. Tidak Mengelingas Matanya
Perhatikan apakah matanya kerap mengelingas ke arah perempuan lain yang lalu-lalang sewaktu berbicara. Jika begitu, dia seorang yang bermata keranjang dan berbahaya untuk disenaraikan calon suami.

7. Terbatas Pergaulan

Dia tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah menjadi fitnah orang.

8. Siapakah Rakan Pergaulannya

Rakan-rakan pergaulan adalah yang sama sepertinya.

9. Bertanggungjawab
Rasa bertanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh manakah dia menguntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika dia seorang yang agak berada tetapi keluarganya hidup susah,dia bukanlah seorang yang bertanggungjawab.

10. Tenang wajahnya
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka. Perhatikan, apakah wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Andainya dia seorang yang kelam-kelibut dia bukanlah calon suami yang anda cari-cari.

  • Berbahagialah anda jika dicintai calon suami yang demikian sifatnya. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat.
  • Cinta seorang wanita bukan untuk 'buaya-fren' tetapi untuk suaminya yang sah.


Sumber : Diari Muslimah 1997

hatikan tenang dengan mengingati mati

Syeikh Said Hawwa Rahimahullah di dalam bukunya "al-Mustakhlas fi tazkiyyatin nafs" telah menyenaraikan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah Taala. Oleh kerana itu Nabi Muhammad s.a.w apabila ditanya siapakah yang paling bijak menurut pandangan baginda, baginda menjawab: (Orang yang bijak) ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh saat kematian.


Menurut al Imamul Ghazali rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati: Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka tidak mahu lansung ingatkan mati. Kalau ingatpun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama. Atau terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anknya nanti.

Golongan ini merasa tidak penting ke Masjid kecuali hari Jumaat atau hari raya sahaja. Waktu lain dihabiskan dengan hiburan. Kerja dunia dilaksanakan bersungguh-sungguh dan bermatia-matian, tetapi amal ibadah dibuat ala kadar sahaja. Soal menutup aurat dianggap terlalu enteng dan remeh. Amat bencikan alim ulama, para hafiz al-quran dan pendakwah. Golongan ini memang susah untuk dilihat di masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu, tetapi begitu senang melihat mereka di pesta-pesta hiburan dan konsert-konsert nyanyian yang melalaikan.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Imam Ghazali juga telah mengajar kepada kita bagaimanakah cara mengingati mati, antaranya:

1) Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikatul maut akan menjemput kita.

2) Ingat bagaimana cara mereka meninggal. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini.

3) Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat, minum arak, disko, tinggal solat dan sebagainya. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.

4) Ziarahi orang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian.

Diriwayatkan bahawa seorang alim iaitu Ibnu Mutie, apabila tercetus di dalam hatinya tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia menangis dan berkata: “Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan gembira sekali dengan rumah besarku. Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.

Berkata pula Kaab r.a: “ Barangsiapa mengerti tentang dahsyatnya kematian, maka ringan baginya semua musibah dan kesulitan hidup di dunia yang fana ini”. Imam Syaddad rahimahullah pernah berkata: “Kematian adalah sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari digunting, digergaji dan dicampak di dalam kawah menggelegak. Andaikata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”.

Para pemimpin terdahulu adalah terdiri dari golongan yangs sangat kuat iman dan ketaqwaan mereka. Mereka amat bimbang akan kuasa yang diamanahkan boleh membawa petaka kepada mereka di dalam kubur sekiranya amanah kepimpinan diabaikan atau digunakan sebagai jalan memburu kekayaan. Mereka amat takut jika ada rakyatnya hidup papa kedana sedangkan mereka tenggelam dalam kemewahan dan kemegahan duniawi.

Sebagai contoh, Khalifah Umar b Abdul Aziz boleh dikatakan saban minggu menjemput para ulamak berhimpun di istananya untuk memberikan tazkirah kepadanya tentang kematian. Setiap ulama diberikan kebebasan menegur dan menyentuh tentang keperitan mati dan azab di alam barzakh. Biasanya majlis itu akan diakhiri dengan tangisan khalifah kerana beliau bimbang dan takut akan azab yang menunggu sekiranya berlaku sebarang kezaliman di dalam pemerintahannya.

Hasilnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz telah berjaya menegakkan kembali kegemilangan pemerintahan Islam di zamannya meskipun hanya berkuasa selama dua setengah tahun. Setiap hari ada sahaja maksiat yang dihapuskan dan syariat yang ditegakkan. Natijahnya maksiat terus berkurangan manakala syariat Islam dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Imam Sufyan at Thauri rahimahullah pula apabila terdengar ada kematian atau terdengar cerita tentang kepedihan mati, sepanjang hari beliau tidak makan dan tidak berseronok.

Seorang ahli sufi pula telah mengungkapkan sajaknya dengan berkata: Lihatlah penguasa-penguasa dunia, Sibuk mengumpul kemewahan segalanya, Apakah dia boleh lepas dari lilitan benang dan lembaran kain kafan? Kematian pastinya akan menjenguk kita. Samada kita pemimpin atau rakyat. Kaya atau Miskin. Tua atau muda. Sihat atau sakit. Oleh itu segeralah bertaubat. Bagi yang sering melakukan maksiat seperti minum arak, meninggalkan solat, berzina , rasuah, berjudi dan sebagainya maka tinggalkanlah segera sebelum terlambat. Agar tidak menyesal apabila dimasukkan ke dalam liang lahad kelak.


rujukan: www.iluvislam.com

SHEIKH AHMAD YASSIN...namamu tersemat dalam memori



Sheikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama Al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Beliau telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin,beliau dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.
Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, dimana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke penghujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma al-Islam.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai "Al-Mujahidun Al-Filastiniyyun" pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan "Kataib Syuyukh" yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memiliki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO (Palestine Liberation Organization) dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.
Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS (Harakah Al Muqawamah Al Islamiyyah ) pada tahun 1987.

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama "Atfal Hijarah"(Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai "Intifadah". Kesan dari "Intifadah" ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16/10/ 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Sheikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga hilang penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Sheikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh beserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Sheikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya Sheikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi. Sheikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilamana sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Sheikh Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22 / 3 / 2004, mereka sekali lagi menyerang Sheikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Sheikh yang lumpuh itu telah mengorbankan Sheikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.

Walaupun Sheikh Ahmad Yassin telah tiada untuk membangkitkan semangat jihad, namun beliau telah meninggal roh jihadnya buat para pejuang yang cintakan Islam dan mahukan bumi Palestin dibebaskan.



Sumber : http://haluanpalestin.haluan.org.my/

Sunday, February 8, 2009

Perak oh Perak

Nizar: Barang saya diambil tanpa izin
Muda Mohd Noor | Feb 6, 09 10:57am
Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin pergi ke pejabatnya seperti biasa pagi ini dan berada di situ selama kira-kira 45 minit sebelum beredar pulang ke kediaman rasminya.

Nizar bersama barisan exconya tiba kira-kira jam 9.40 pagi dan mendapati pintu pagar utama bangunan SUK ditutup.

Beliau kelihatan meminta pengawal di situ membuka pintu tetapi pintu masih tidak dibuka.

Nizar kemudiannya, keluar dari keretanya dan menemui pengawal di situ dan sejurus kemudiannya pintu pagar utama kelihatan dibuka.

nizar jamaluddin perak mb office lock out bn takeover 060209 06Berikutan itu, Nizar dan kesemua exco kerajaan negeri masuk berkereta sampai ke tingkat bawah bangunan Darul Ridzuan itu.

Menteri besar kemudiannya menaiki lif ke pejabatnya dan diikuti dengan satu sidang akhbar di pejabatnya.

Nizar memberitahu pemberita bahawa pejabatnya telah kosong dan barang-barangnya telah diambil tanpa notis dan tanpa kebenaran serta pengetahuannya.

Beliau berkata, sepatutnya mereka menghormati kuasa menteri besar kerana beliau masih memegang jawatan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak boleh mengadakan mesyuarat exco tanpa kebenaran Sultan.

"Saya meminta rakyat bertenang...," katanya dalam sidang selama kira-kira 10 minit itu.

Sidang akhbar Nizar diganggu dua kali oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Ipoh, Azisman Alias.

Nizar juga enggan mengadakan pertemuan dengan Abdul Rahman dan kemudiannya beredar bersama yang lain ke kediaman rasminya di mana beliau dijangka mengadakan satu sidang akhbar.

Semua wartawan keluar dari bangunan itu.

Pada kira-kira jam 10.42 pagi, kelihatan kereta menteri dan semua kenderaan exco bergerak keluar dengan diringi oleh kereta polis.

Berikut adalah rentetan peristiwa pagi tadi.

9.30 pagi: Anggota exco negeri Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman rasmi menteri besar.

9.40 pagi: Nizar, yang berpakaian Melayu berwarna hijau dan barisan exco tiba di bangunan SUK. Pada mulanya pintu ditutup, selepas menemui pengawal, mereka dibenarkan masuk.

Nizar terus ke pejabatnya tetapi mendapati ia telah dikosongkan.

nizar jamaluddin perak mb office lock out bn takeover 060209 0410.15 pagi: Nizar dan anggota exco mengadakan sidang akhbar sebelum ia diganggu oleh Abdul Rahman dan Azisman.

Abdul Rahman dengan kasar mengarahkan wartawan supaya meninggalkan bilik tersebut.

Exco kanan kerajaan negeri, Ngeh Koo Han kedengaran memberitahu Azisman supaya mematuhi prosedur.

10.20 pagi: Nizar dan anggota exco berkereta keluar dari pejabat SUK, balik ke kediaman rasminya.

10.45 pagi: Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad berkata polis telah mengawal pejabat SUK atas permintaan setiausaha kerajaan negeri.

Friday, February 6, 2009

Perubahan Tampuk Pimpinan



Kehadiran 2009 membawa perubahan yang besar terhadap dunia dan Malaysia sendiri. Perlantikan Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat ke 44 dijangka akan membawa perubahan yang besr terhadap negara berkuasa besar dunia itu. Malah kemunculannya juga diharap akan adanya polisi politi baru buatnegara lain seperti Iraq dan negara Asia.
Di Malaysia pula Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mengumumkan akan menyerahkan tampuk pimpinan pemerintahan negara kepada timbalannya iaitu Datuk Seri Najib Razak. Pertukaran pucuk pimpinan ini juga mengharapkan sesuatu perubahan buat rakyat.
Seluruh umat manusia mahukan perubahan corak politik dan pemerintahan. atas dasar ini juga, masyarakat mahukan perubahan ekonomi yang lebik baik berbanding keadaan sekarang di mana berlaku susut nilai Dolar US yang membawa merudumnya ekonomi dunia.
Sungguhnya Malaysia hanya kecil yang dikatakan tidak terkena tempias isu global ini, tetapi apakah masyarakat kita sudah bersedia untuk menerima apa sahaja perubahan yang akan berlaku di dunia dan Malaysia.
Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Prof Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff memberi ramalan perubahan tampuk pimpinan yang akan memberi perubahan politik dan Sosial yang akan berlaku kepada dunia. Dan impaknya kepada manusia kepada 2009 nanti.
Seperti Amerika Syarikat, Malaysia juga akan berlaku pertukaran pucuk pimpinan. Pak Lah telah membuat pengumumam untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri dan akan menyerahkan perlantikan ini kepada timbalannya. perubahan ini diharap akan dapat membawa perubahan senario politik negara.
Sejajar dengan pertukaran tampuk pimpinan ini, rakyat mahukan perubahan dan memperbaiki kelemahan yang ada.
"Rakyat mahu kehidupan yang aman, beban kerja yang baik tidak seperti sekarang. Jika Datuk Seri Najib naik menjadi perdana menteri adalah mustahak untuk beliau penuhi interpretasi rakyat. Jika beliau gagal menyelesaikan masalah hidup rakyat, ini akan memberi kesan kepada politik negara. pembangkang akan menjadi lebih kuat dan rakyat pula tidak puas hati."
Menurutnya lagi ia turut akan menjejaskan kemasukan pelabur asing ke dalam negara. Justeru akan terjadilah kemelesetan ekonomi yang teruk.

rujukan:
Majalah Aniqah
Januari 2009